Wa-alaikumussalam wbt.,
Whey adalah produk sampingan daripada industri keju. Semasa pembuatan keju, susu lembu akan dikentalkan (coagulate) proteinnya (terutamanya kaseina-caseine) dengan menggunakan enzim protease yang diekstrak secara tradisinya daripada perut anak lembu (calf abomasum) yang lebih dikenali sebagai rennet atau chymosine. Kentalan (curd) itu kemudiannya diperah keluar airnya dan pepejal yang tinggal itulah yang dunamakan keju (cheese).
Di sini timbul persoalan samasa ada anak lrmbu tersebut disembelih secara Islam atau tidak. Walau bagaimanapun, pada masa ini hampir 90% rennet (atau lebih tepat dipanggil agen pengental – coagulant) adalah disediakan secara bioteknologi : melalui fermentasi mikrob terubahsuai genetik – microbial rennet. Lain-lain enzim protease seperti ficin (daripada buah ara) juga boleh digunakan. Kajian kami di UKM mendapati getah bacang dan mempelam juga boleh mengentalkan susu.
Sekarang berbalik semula kepada whey. Whey (istilah BM – wei) adalah serum susu atau cecair susu yang tertinggal apabila protein/caseine susu telah dikentalkan. Ia kaya dengan protein (whey protein) dan gula khususnya lactose dan banyak digunakan untuk membuat minuman dan ramuan makanan lainnya. dalam hal ini saya berpendapat, memandangkan hampir 90% agen pengental susu adalah bersumberkan mikrob, maka kemungkinan besar juga ia adalah halal.
Wallahualam.