ASM,
Apa, Ribena ada wine? Untuk apa wine dimasukkanke dalam produk itu?
Saya faham maksudnya dan hal ini pernah kira-kira 2 tahun lepas ditimbulkan oleh persatuan pengguna Islam di UK pada tahun 2008. Apa yang dimaksudkan adalah mengandungi 0.05% ethanol (alkohol). Hal ini pernah kami ahli akademik Fakulti Sains dan Teknologi, UKM foramkan atas talian!
Berikut adalah jawapan saya kepada persoalan tersebut.:
Saudara/saudari yang dihornati sekelian.
Berhubung dgn topik di atas, saya terpanggil utk memberikan sedikit
pandangan dari aspek sains makanan, khususnya kimia makanan. Sebagai
sejenis makanan yang kaya dengan gula dan mempunyai aras keasidan yang
sederhana, kewujudan etil alkohol (dalam istilah umum, alkohol lazimnya
merujuk kepada ethil alkohol atau etanol) tidak dapat dielakkan kerana
pencemaran yis boleh menghasilkan alkohol. Ada dua kemungkinan kenapa
alkohol boleh dikesan di dalam minuman seperti ribena :
1. fermentasi (anaerobik) gula – semulajadi – tak sengaja
2. sebagai pelarut bahan perisa/pewarna – sengaja (intentional) – bahan
bantu pemprosesan (processing aid)
Saya kurang pasti tentang hukum halal-haram produk yang mengalami situasi
sedemikian, mungkin ahli sains makanan kena bermuzakarah dgn pakar fikah.
Saya pernah pada satu ketika bertanyakan kedudukan “tapai” dengan seorang
ustaz. Mengikut beliau, dalam fikah ada kaedah tersendiri untuk menentukan
status halal-haram sesuatu produk makanan. Dalam kes tapai, mengikut beliau
hukum memakannya adalah harus kerana ia dibuat/disediakan sebagai “bahan
makanan” dan bukannya sebagai “arak”; manakala kehadiran alkohol (etil
alkohol) adalah secara semulajadi (mengikut pemahaman mereka, pertukaran
gula menjadi alkohol dan seterusnya dioksidakan menjadi cuka adalah suatu
proses semula jadi – walhal mengikut sains ia adalah suatu proses fermentasi
melibatkan aktiviti yis dan bakteria). Hasil kajian saya semasa bertugas di
Bahagian Teknologi Makanan MARDI, ada tapai pulut yang mengandungi etil
alkohol sehingga > 10%. Ini bergantung kepada jenis ibu (starter cultures)
yang digunakan. Untuk itu, MARDI telah mengeluarkan ibu tapai (umumnya
dipanggil ragi) yang BANYAK menghasilkan gula tetapi SEDIKIT alkohol.
Mungkin ada diantara saudara-saudari mengalami situasi akibat datang lewat
ke jamuan perkahwinan anak rakan, mendapati tapai yang dihidangkan tak sedap
dimakan kerana rasa masam. Mengikut sains makanan, hal ini terjadi kerana
etil alkohol atau etanol telah dioksidakan oleh Acetobacter aceti menjadi
asetik asid atau cuka.
Dalam kaedah fikah juga ada menyatakan sekira kandungan sesuatu najis (dari
segi fikah, alkohol itu najis kerana mungkin ia merupakan hasil kumuh
mikroorganisma) itu sedikit, maka ia dimaafkan. Mungkin kita ingat tentang
konsep 2 kolah untuk membolehkan sesuatu sumber air mutlak itu digunakan sah
untuk berwuduk. Pada saya kandungan alkohol 0.1% itu adalah sedikit
berbanding tapai yang kita suka makan yang umumnya mengandungi etanol ~5%.
Dengan berdasarkan hujah diatas, pada pendapat saya yang bukan ahli, ribena
adalah halal. Mungkin boleh dapatkan pandangan pakar rakan-rakan kita di
Fakulti Pengajian Islam. Kalau masih was-was, maka kaedah fikah menyarankan
kita untuk mengelak menganbilnya.
Sekian. Diharap maklumat ringkas saya sedikit sebanyak boleh membantu kita
membuat penilaian sendiri.
Wassalam.